Jadilah Orang Yang Sentiasa Jujur

Setiap Jejak Akan Tetap di Balas..Jgn Risau Ok

Biar Gambar Berbicara

Friday, February 18, 2011

Sambutan Maulidur Rasul SK Sulaiman 2011

5 comments
MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1432H
SK SULAIMAN
7.40-10.40 pagi


18 Feb 2011- Sekolah Kebangsaan Sulaiman telah mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1432H.Kali ini sambutan lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.Pada sambutan kali ini, kelihatan pelbagai sepanduk hasil kreativiti murid-murid bersama guru kelas masing-masing. Sepanduk yang kreatif dan cantik akan dinilai oleh juri khas. Kelas yang berjaya menghasilkan sepanduk yang cantik dan kreatif akan mendapat hadiah lumayan.

Pada jam 7.40 pagi, taklimat telah disampaikan oleh Ustaz Aris Hazlan bin Ismail selaku Ketua Perarakan untuk kali ini.Sebelum ni dia juga lah..Hehe..Perarakan ini disertai oleh semua murid-murid Islam tahun 1-6. Manakala laluan perarakan pada tahun ini juga ada perubahan.Perubahan tersebut ialah laluan perarakan dipanjangkan lagi KILOMETER nya..Maknanya jauh sikit la dari tahun lepas.Walaubagaimanapun, sambutan kali ini amat meriah dengan kehadiran sepanduk-sepanduk, poster-poster dan penglibatan murid dan guru amat menggalakkan.

Untuk tahu aktiviti selanjutnya.Mari kita lihat rentetan sepanjang Sambutan Maulidur Rasul SK Sulaiman 2011---->>

PERSEDIAAN SEBELUM HARI PERARAKAN
Ustaz Nazari membantu murid dalam mengahasilkan sepanduk Sambutan Maulidur Rasul

Penglibatan murid-murid dan guru amat menggalakkan
HARI PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1432H
Gambar Atas Dari Kiri: Cikgu Rosdi,Cikgu Wan Mahassan (GPK Pentadbiran), En. Azor (GB Sk Sulaiman), Cikgu Wan Huzairul, Cikgu Rosnizal, Cikgu Khairul Anuar (Praktikum)
Kerjasama daripada pihak Polis bagi memastikan segala pergerakan lalu lintas berjalan dengan lancar semasa perarakan diadakan.


Ustaz Al-Hisyam melaungkan selawat sambil mengawal murid-murid Pra-sekolah

Antara sepanduk yang dihasilkan untuk dinilai oleh juri


Murid dan Guru Kelas bergambar dengan sepanduk hasil kreativiti bersama

P/s: Semoga Tahun Depan Akan Dapat Dikekalkan Lagi Seperti Ini.
Teringat Dulu Zaman Sekolah Rendah Kat Rompin..Sedang Berarak dijalan raya,
Ada plak org gila duk menari bogel kat tengah jalan..Haha..

Friday, February 11, 2011

Hentikan Sambut Hari Valentine

3 comments
BAGI PENDAPAT ANDA?

Tarikh 14 Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing.


Maka pada 14 Februari, pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah.


Pasangan-pasangan ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.


Saban tahun juga para ulama mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ia seperti menuang air ke daun keladi. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram. Ia adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom kuno dan juga Kristian.


Sejarah Sambutan Hari Valentine


Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine, maka kita akan dapati bahawa terdapat empat pendapat berkaitan dengannya.


- Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata.


Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.


Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu.


Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka.


- Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.


Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II.


Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.
Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.


Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan From your Valentine (Daripada Valentinemu).


Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.


Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin.
Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.


- Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. Tanggal 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.


- Pendapat keempat. Sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.


Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

Hukum sambut Valentine


Sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah serta disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.


Ini sebagaimana yang firman Allah SWT: Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. (al-Hajj: 67)


Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri”. (riwayat al-Nasaai, no: 959).


Oleh itu hendaklah umat Islam membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu tiga kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan lain-lain.


Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah ia berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masihi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda baginda: ”Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512).


Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Sheikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar”.


Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam”.


Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT.


Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar). (al-Baqarah: 120)



Dipetik dari tulisan: Mohd. Yaakub Mohd. Yunus (9/2/2009 Utusan)

Sunday, February 6, 2011

Siapa Cantik?

3 comments
Siapa yang cantik? Awak cantik? Saya? Atau dia?

Kalau di Bollywood mungkin kata mereka, Aishwarya Rai yang tercantik, atau di Hollywood, Paris Hilton adalah cantik pada pandangan mereka dan mungkin juga di Malaysia, Fasha Sandha yang tercantik.

Siapa agaknya yang dapat memberi definisi dan ciri-ciri tepat tentang apa yang dikatakan sebagai 'cantik'?

Cantik adalah sesuatu yang sangat subjektif. Setiap orang mempunyai definisi kecantikan masing-masing.

Mungkin bagi saya, cantik adalah begitu dan begini, tapi bagi anda, lain pula.

Tiada siapa dapat memberi definisi tepat tentang cantik.

Mata lah yang akan mendefinisi cantik. Namun kini, pada pendapat saya, barat sudah pun mempengaruhi definisi cantik pada dunia dan hampir seluruh dunia memakai definisi cantik barat.

Kadang kala, cantik juga didefinisi mengikut tempat, kaum dan budaya.

Kalau di barat sekarang, the thinner the better, tapi berbeza pula di Mauritania, Africa, the bigger the better.

Orang di barat berperang dengan aneroksia dan bulimia akibat mahu kurus, sebaliknya di Mauritania, wanita mengamalkan 'makan paksa' sejak berumur 5-6 tahun untuk gemuk, agar menjadi cantik dan mudah mendapat jodoh.

Sungguh berbeza kan? Definisi kecantikan yang sungguh berbeza.

Ataupun, ada juga yang sanggup melakukan pelbagai cara yang pada pandangan kita pelik dan tidak masuk akal tetapi pada mereka, itulah cantik!

Satu kaum di Thailand menganggap leher panjang itu cantik, lantas sejak dari umur 5 tahun lagi, mereka sudah dipakaikan gelang logam di leher agar leher mereka akan menjadi semakin panjang dan panjang dan panjang justeru mereka cantik dan mudah mendapat jodoh.

Di Sarawak pula, suku kaum Oran Ulu menganggap telinga panjang itu sangat cantik pada mata mereka, lagi panjang, lagi cantiklah seseorang wanita itu pada pandangan mereka.

Tapi kini, generasi muda sudah tidak lagi mengamalkan amalan ini. (Mungkin sudah terikut-ikut definisi cantik barat..hmmm)

Perlukah jadi cantik?

Di Mexico, kaum wanita menghabiskan separuh dari gaji mereka untuk kecantikan seperti ke salun, malahan ada juga pakej bayar secara ansuran untuk pembedahan plastik.

Atau di Iran, pembedahan hidung sangat popular di sana.

Wanita Iran sanggup berkorban wang ringgit demi mendapatkan hidung yang diidam-idamkan lantaran kata mereka, hidung mereka besar.

Tetapi saya tertanya-tanya juga, bukankah mereka Islam dan Islam melarang pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan? Wallahualam.

Bayangkan betapa wanita-wanita ini mahu kelihatan cantik.

Betapa pentingnya menjadi cantik pada seorang wanita itu.

Macam-macam sanggup dikorbankan, wang ringgit, masa, kesakitan yang perlu ditanggung demi cantik, bahkan, hukum agama pun sanggup dilanggar demi cantik.

Tidak kisahlah perbuatan mereka dilarang agama, janji mereka kelihatan cantik. Plastic surgery, Botox, liposuction, gastric bypass sekarang bermain di sekitar hidup wanita demi cantik.

Walaupun mereka sedar akan kesan sampingan perbuatan ini, semua itu ditolak tepi, demi CANTIK.

Innallah jamil, wa yuhibbu jamal: Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.

Kata mereka, apabila diri terasa cantik, barulah mereka ada keyakinan diri.

Saya juga bersetuju dengan ini, tetapi bukanlah sampai sanggup berkorban segalanya demi cantik.

Allah suka akan kecantikan, tetapi bukan lah sehingga mengubah ciptaanNya.

Tambahan lagi, mereka yang ekstrem mahu kelihatan cantik ini, bukanlah mahu kelihatan cantik di mata Allah, tapi di mata manusia. Semuanya dilakukan agar kelihatan cantik pada manusia dan agar mendapat tempat di hati manusia.

Dulu sewaktu kecil, saya juga suka kelihatan cantik.

Kalau baju pink, maka seluruh badan perlu pink termasuklah sepit dan pengikat rambut. Tapi kini, saya bukan perempuan yang obses cantik, kerana pada saya, cantik bukan sekadar di wajah, tapi cantik itu dari akhlak dan keimanannya kepada Pencipta.

Cantik akan pudar walau cuba dipertahankan, tapi akhlak itu hiasan yang kekal pada diri seorang wanita.

Wanita yang cantik akhlaknya, maka cantiklah luarannya.

Tiada guna mempunyai wajah seindah bidadari kerana satu hari nanti, kita cuma akan menjadi tengkorak yang menakutkan.

Bukanlah tidak perlu menjadi cantik dan perlu mejadi buruk sedangkan Allah menyukai kecantikan, tetapi, biarlah cantik itu kerana Allah, dan definisi cantik itu juga perlu sesuai dengan Islam.

Janganlah sanggup melanggar larangan agama demi kelihatan cantik.

Perbaikilah akhlak diri sekaligus, anda akan kelihatan cantik pada pandangan Allah dan pandangan manusia.

Bersyukurlah dan berpuas hati lah dengan kurniaan Allah kepada kita, dan gunakan ia sebaik-baiknya hanya keranaNya.

Tiada yang lebih indah pada ibu bapa selain anak-anak yang soleh solehah, tiada yang lebih bahagia pada seorang suami selain seorang isteri yang solehah dan tiada yang lebih bernilai pada Allah selain hambaNya yang soleh solehah.

Sumber: I LUV ISLAM

Saturday, February 5, 2011

'Delete' 14 Februari A.K.A Hari Kekasih Dalam Kalendar Minda Kita!

1 comments
APA PANDANGAN ANDA TENTANG HARI KEKASIH

Apa istimewanya tanggal 14 Februari? Ia disambut dengan penuh kegembiraan oleh sebilangan besar rakyat dunia pada masa kini. Saban tahun, ramai tertunggu-tunggu akan tibanya tarikh tersebut. Kononnya ia adalah hari kekasih yang mana merupakan detik yang tepat buat pasangan yang hangat bercinta meluahkan rasa kasih dan cinta sesama mereka. Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun, asalkan hasrat hati mereka tercapai.

Jika diperhatikan, budaya menyambut hari kekasih ini sudah mendapat tempat dan begitu popular dalam kalangan masyarakat kita termasuklah yang beragama Islam. Ia lebih tertumpu kepada golongan remaja biarpun ada dalam kalangan kita yang sudah berumahtangga sekalipun turut sama meraikan.

Menyimpang

Hari kekasih begitu sinonim dengan pemberian hadiah berupa coklat dan bunga mawar merah. Ia adalah lambang kasih sayang yang sangat istimewa yang diberikan. Bunga mawar dipersembahkan dalam hiasan dan balutan yang cantik manakala coklat pula disampaikan dengan bentuk dan kotak yang menarik sama ada berbentuk hati dan sebagainya. Tidak cukup dengan hadiah, ada yang meraikan dengan makan malam istimewa dan juga 'pembuktian' ketulusan cinta yang dibina. Walaupun ia jauh sekali menyimpang daripada budaya dan syariat umat Islam, namun kerana nafsu, ia dikira 'halal'.

Hari ini, umat Islam terpaksa berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman sama ada dari sudut budaya mahupun agama. Kita telah dijajah dari keseluruhan cara hidup, mentaliti, kelakuan dan juga amalan kerohanian yang sudah boleh dilihat adanya percampuran dengan unsur-unsur dari barat. Jadi, tidak hairanlah jika sambutan yang diraikan oleh golongan kristian turut sama disertai oleh umat Islam yang mudah terpengaruh.

Justeru, hari kekasih langsung tidak ada dalam sejarah Islam. Malah Islam sentiasa bersifat universal dan tidak dibatasi waktu, tempat,objek dan juga motif untuk menunjukkan kasih sayang. Hal ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Cintailah saudara se-Islam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari). Jadi ikutan siapakah hari kekasih ini? Apabila kita leka, kita secara tidak langsung akan meminggirkan suruhan agama dan lebih kepada mengikut hawa nafsu dan mencari keseronokan hidup. Tanpa kita sedar, rupanya kita menyambut hari pemujaan penganut kristian.

Asal-usul Hari Kekasih

Menurut catatan sejarah, pelbagai kisah yang diceritakan mengenai asal usul sambutan hari kekasih ini. Ada yang mengatakan, sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Manakala dalam penceritaan lain, hari kekasih ini diraikan oleh penganut Kristian yang memuja seorang paderi bernama St. Valentine dengan menganggap beliau seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Walau apa pun, jelas sekali ia langsung tiada kaitan dengan hari kebesaran buat umat Islam untuk turut sama meraikannya.

Allah telah berpesan kepada hamba-Nya, amal buruk jangan dikerjakan tidak kira dalam apa jua bentuk kelakuan sekalipun tetapi manusia sering melakukan sebaliknya. Apa-apa yang dilarang, itulah yang dibuatnya. Sama ada disebabkan ceteknya ilmu agama atau kerana terlalu mengikut hawa nafsu, jawapannya ada pada diri sendiri. Yang pasti, sambutan hari kekasih sudah menjadi trend dan mereka yang tidak meraikannya dipandang kolot dan 'out dated'.

Hakikatnya, sifat manusia ini lemah. Mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang sengaja ingin memusnahkan dan melemahkan pegangan umat Islam. Golongan yang tidak senang dengan kehebatan Islam cuba merosakkan budaya dan akidah walau dengan apa cara sekalipun. Jika kita perhatikan, sebelum tiba tarikh 14 Februari, sebilangan besar media massa di seluruh dunia berlumba-lumba menyiarkan tentang kemeriahan menyambut hari kekasih, pasaraya dan pusat membeli belah pula membuat promosi besar-besaran dari segi hiasan, potongan harga dan juga tayangan filem-filem cinta bagi membesarkan lagi sambutan hari kasih sayang ini.

Sebagai umat Islam yang diwajibkan patuh pada ajaran Islam dan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, tinggalkanlah perbuatan yang sia-sia ini. Ia bukanlah hiburan yang boleh mengembirakan hati kita malah memesongkan akidah. Kita wajar tahu yang beramal mengikut sesuatu yang bertentangan dengan suruhan Allah itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan juga keimanan kita terhadap Allah SWT.

Tiada istilah menyambutnya sekadar suka-suka. Keterlibatan kita dengan sambutan hari kekasih yang jelas khusus untuk golongan kristian sudah dikira salah malah jatuh kepada perkara haram kerana menggalakkan pasangan berdua-duaan dan menyalurkan rasa kasih sayang diluar batas syariat. Walau bagaimanapun, bagi yang sudah berkahwin, amat digalakkan berkasih sayang tetapi janganlah membesar-besarkan tarikh 14 Februari sebagai hari yang istimewa buat diri dan pasangan tetapi jadikan setiap hari adalah hari kekasih. Selain memperolehi kebahagiaan, kita juga diberi ganjaran pahala di atas amal kebaikan yang dilakukan setiap hari.

Sumber: ILUV ISLAM




Blog Widget by LinkWithin
 

j-QAF Sk Sulaiman Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template