Jadilah Orang Yang Sentiasa Jujur

Setiap Jejak Akan Tetap di Balas..Jgn Risau Ok

Biar Gambar Berbicara

Showing posts with label Info Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Info Ramadhan. Show all posts

Sunday, August 21, 2011

Pencarian Lailatul Qadar Bermula

0 comments
KITA sudah pun berada dalam sepuluh hari-hari terakhir Ramadhan yang dirindui oleh para kekasih Allah S.W.T. Ini bererti kita sudah memasuki sepertiga terakhir Ramadhan yang menandakan Ramadhan akan melambaikan salam perpisahannya dalam beberapa hari yang pendek.

Hari-hari ini dirasakan pendek oleh para Solehin kerana mereka begitu yakin dengan ketinggian nilai dan keistimewaan hari-hari ini yang menyebabkan mereka seolah-olah merasa tidak mencukupi dengan saki-baki minit dan jam yang ada. Begitu banyak amal bakti yang belum sempurna dipersembahkan ke hadrat Ilahi. Masih banyak bukti pengabdian yang belum sempurna dipersembahkan ke hadapan-Nya. Di suatu sudut lain, sebahagian orang pula merasakan hari-hari ini begitu pendek kerana pelbagai kesibukan duniawi apabila mengenangkan Hari Raya yang menjelang tiba.

Pelbagai persiapan pakaian, rumah dan juadah yang hendak disempurnakan. Masih banyak urusan kerja dan perniagaan berkaitan Ramadhan dan Aidil Fitri yang belum selesai. Jika tidak berwaspada, sinar hari-hari terakhir Ramadhan ini mudah pudar dan tenggelam dalam keriuhan ambang Syawal sedangkan sepertiga terakhir Ramadhan inilah merupakan peringkat terpenting dalam madrasah Ramadhan yang sedang kita lalui ini.

Keutamaan lailatul qadar

Keutamaan utama hari-hari terakhir Ramadhan ini berputar sekitar pemburuan mendapatkan keutamaan Lailatul Qadar. Satu malam gilang-gemilang yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam yang begitu agung dalam kerajaan langit sehingga diabadikan dalam suatu surah al-Quran yang khusus untuk mengisytiharkan keistimewaannya iaitu surah al-Qadr.

Bagi mereka yang sentiasa menjadikan urusan amal ibadah sebagai tumpuan perhatian dan kebimbangan mereka, inilah satu tawaran istimewa daripada Allah S.W.T yang 'haram' dilepaskan. Sangat malanglah bagi seorang hamba yang dikurniakan hadiah begitu berharga daripada Tuhannya sendiri tetapi tidak mengendahkannya atau tidak menerimanya dengan baik.

Benarlah pesan Rasulullah S.A.W bahawa, "Sesiapa yang diharamkan mendapat kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah diharamkan (daripada mendapat segala kebaikan)".

Memang Lailatul Qadar adalah suatu hadiah atau anugerah bagi umat ini. Para ulama meriwayatkan pelbagai riwayat bagaimana Lailatul Qadar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W kerana mengambil kira jangka hayat umat ini yang jauh lebih pendek berbanding umur umat sebahagian nabi-nabi terdahulu. Dengan beramal-ibadah pada malam ini barulah boleh kita menyaingi kuantiti ibadah umat-umat yang dikurniakan umur yang jauh lebih panjang. Harus diinsafi bahawa sebagai suatu urusan ibadah, kelebihan utama Lailatul Qadar bukan terbatas kepada sifir 1,000 bulan yang begitu sinonim dengan malam tersebut.

Dalam mana-mana urusan ibadah nilai utama sesuatu amalan tetap tergantung kepada rahmat dan kasih Tuhan yang menjadi tumpuan sesuatu amalan tersebut. Oleh itu memburu Lailatul Qadar bukan bererti kita sekadar mengejar gandaan seribu bulan itu tetapi yang lebih penting, berusaha mencarinya bererti kita bersungguh-sungguh untuk menyambut dan meraikan suatu bukti kasih dan rahmat Allah S.W.T kepada kita.

Mendapatkan lailatul qadar

Sesuai sebagai anugerah yang begitu bernilai dan berharga, Lailatul Qadar tidaklah sampai begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja tanpa perlu berusaha. Walaupun kita mewarisi pelbagai panduan dan petua daripada Rasulullah S.A.W sendiri dan para ulama pewaris Baginda S.A.W tentang mengenalpasti malam Lailatul Qadar, masih tidak ada satu kesepakatan tentang bilakah sebenarnya jatuhnya malam itu.

Akhirnya, bolehlah disimpulkan bahawa peluang untuk mendapatkannya adalah lebih cerah bagi mereka yang menghidupkan malam-malam yang ganjil dari 10 malam yang terakhir, sangat cerah bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam terakhir dan paling terjamin bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam-malam Ramadhan.

Juga harus diingat, para ulama turut berpandangan bahawa siangnya Lailatul Qadar juga perlu diisi dengan amal ibadah sama seperti malamnya. Sesuai sebagai tanda rahmat dan pemberian Tuhan, Lailatul Qadar tidaklah pula terlalu sukar dan terlalu jauh dari capaian kita. Ia ditentukan jatuh di dalam bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah umat ini yang mana rata-ratanya malam-malam Ramadhan adalah malam-malam yang lebih baik pengisian ibadahnya bagi kita semua.

Walaupun sebahagian ulama berpandangan bahawa kelebihan Lailatul Qadar dicapai dengan menghidupkan sebahagian besar malam itu, sebahagian ulama meriwayatkan bahawa untuk syarat minimum untuk mendapatkan sebahagian laba malam ini bukannya terlalu sukar.

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatto' misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul Musayyib bahawa, "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam Lailatul Qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba/ bahagian daripadanya (Lailatul Qadar)".

Pandangan-pandangan yang lebih ringan ini meletakkan syarat mendapatkan Lailatul Qadar pada menjaga solat-solat fardu pada malam tersebut. Jika pandangan ini yang kita ambil nescaya mendapatkan Lailatul Qadar bukannya terlalu sukar dan boleh diusahakan oleh semua orang. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, hakikatnya, mereka yang biasa lalai tetap akan lalai dan gagal hatta untuk menjaga solat-solat fardu ini walaupun di malam-malam akhir Ramadhan.

Semoga Allah menjauhkan diri kita dan mereka yang bersama kita daripada tergolong dalam golongan yang lalai. Zikir dan doa yang diajarkan oleh nabi S.A.W untuk Lailatul Qadar juga cukup pendek mampu diamalkan oleh semua orang. Maka marilah kita memperbanyakkan doa ini di hari-hari ini, Allahumma innaka 'Afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'nniy yang maksudnya, "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, sukakan keampunan maka ampunilah aku".

Walaupun pintu untuk kita menghayati Lailatul Qadar melalui ibadah khusus lebih terbuka di bulan Ramadhan dengan budaya dan suasananya yang tersendiri, ini tidak menafikan hakikat luasnya makna dan bentuk ibadah dalam Islam. Mereka yang terpaksa menyelesaikan tugasan dan kerja mereka yang tidak bercanggah dengan agama dan dalam kadar yang sesuai dengan bulan Ramadhan ini, tetap boleh meniatkan kerja-kerja mereka sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan dan menghayati Lailatul Qadar.

Menghantar Pulang Tetamu Agung

Ramadhan, tetamu agung yang setia datang berkunjung setiap tahun tetap akan pergi meninggalkan kita sedikit masa lagi. Mereka yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadhan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan takwa yang datang bersamanya sudah tentu menghadapi saat-saat perpisahan ini dengan penuh kesedihan berbaur kebimbangan dan pengharapan.

Sedih mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dikasihi ini. Bimbang adakah amalan diterima dengan tahap penghayatan yang tidak seberapa. Berharap agar dosa-dosa diampunkan, dikembalikan kepada fitrah serta berharap agar bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Inilah sikap yang diriwayatkan daripada sebahagian para salaf. Mereka berdoa kepada Allah S.W.T selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadhan. Setelah itu mereka berdoa pula selam enam bulan berikutnya agar Allah S.W.T menerima amalan mereka di bulan Ramadhan yang berlalu.

Semoga Allah mengurniakan kita himmah yang tinggi dalam beragama seumpama mereka. Marilah kita menghantar pulang Ramadhan kali ini hingga ke 'hujung desa'. Ibarat menjamah juadah yang paling kita gemari, janganlah kita tinggalkan Ramadhan kali ini bersisa sedikitpun. Ibarat suatu perlumbaan marathon yang kita sertai, apalah gunanya kita hebat di peringkat awal larian hanya untuk lemah-lesu ketika menuju garisan penamat. Marilah kita rebut setiap ketika yang berbaki di bulan Ramadhan kali ini dan mengisinya dengan sebaik mungkin.

Sesungguhnya La hawla wala quwwata illa billah al-'Aliyyil 'Adzim yang maksudnya, "Tiada daya (menghindari maksiat) dan tiada kekuatan (melakukan ketaatan) melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung".


Sumber: I LUV Islam

Friday, August 19, 2011

Kenapa Lailatul Qadar Sangat Istimewa?

1 comments
Bagi umat Muhammad saw yang pendek hayatnya, malam yang istimewa ini adalah peluang yang terbaik buat kita semua untuk memburu habuan dan redha dari Ilahi. Firman Allah swt :

"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu ? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar". (Surah al-Qadr 1-5)

Apakah keistimewaan Lailatul Qadar yang boleh kita pelajari daripada ayat-ayat ini?

Sesungguhnya sangat banyak kemuliaan Lailatul Qadr, secara ringkasnya ialah....

1 - Allah swt telah menurunkan Al Qur'an ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar ini.

2 - Allah swt mengagungkan malam ini dengan bentuk pertanyaan, "Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?" (Surah al-Qadr, ayat 2)

3 - Ibadah yang dilakukan pada Lailatul Qadar adalah lebih baik dari ibadah yang dilakukan selama seribu bulan (83 tahun).

4 - Para malaikat bergerombolan turun pada malam ini dengan membawa rahmat, berkah dan ketenangan.

5 - Keamanan dan keselamatan meliputi orang-orang yang beriman pada malam ini dan para malaikat terus menerus mendo'akan keselamatan mereka.

6 - Inilah kesempatan terbaik untuk memohon pengampunan dosa daripada Allah swt.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu. Barangsiapa solat pada Lailatul Qadar kerana beriman dan mengharapkan pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah berlalu." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Aisyah r.ha bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud :

"Berusahalah mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan." (Hadith Riwayat Bukhari)

Sumber: I LUV ISLAM


Friday, August 5, 2011

Indahnya Ramadhan

0 comments
Kalau ku tahu, indahnya Ramadhan, tidak aku sia-siakannya. Ramadhan kali ini menyedarkan aku tentang indahnya berpuasa, indahnya solat sunat Terawih, indahnya taddarus al-Quran, indahnya bersedekah.

Saban malam ku berkunjung di surau berdekatan untuk solat Insya' seterusnya solat sunat Terawih berjemaah. Keindahannya tidak terucap dengan kata-kata.

Solat sunat Terawih empat (4) rakaat diikuti tazkirah oleh ustaz jemputan kemudian empat (4) rakaat lagi diikuti dengan solat sunat Witir tiga (3) rakaat. Jumlah keseluruhan 11 rakaat, begitulah saban tahun aktiviti di surau berdekatan rumahku. Setiap hari ada ustaz jemputan yang akan menyampaikan tazkirah.

" Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu Syurga, ditutup rapat pintu Neraka dan ditambat para Syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi. "
(Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nisai)

Dan puasa itu merupakan perisai, maka janganlah seseorang yang berpuasa itu berkata keji dan meninggikan suara atau mencaci maki. Dan seandainya dicaci oleh seseorang atau diajaknya berkelahi hendaklah dijawabnya: "saya ini berpuasa, saya ini berpuasa!" (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nisa'i)

Secara tidak langsung, amalan dipertingkatkan pahala digandakan, ilmu juga ku perolehi. Alhamdulillah, ALLAH masih memberiku kesempatan untuk sama-sama meraikan bulan yang penuh keberkatan ini dengan pengisian amalan dan ilmu.

" Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman."
(Surah Azzariyat: 57)

"Demi masa, sesungguhnya manusia benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran."
(Surah al-Asr: 1-3)

Sepuluh hari permulaan puasa ku mengharapkan rahmat dari ALLAH, sepuluh hari mendatang ku mengharapkan maghfirah dan sepuluh hari di penghujungnya ku mengharapkan kebebasan dari api Neraka.

Ramadhan,
Jika dulu aku sia-siakan kedatanganmu,
Kini aku menghargai kedatanganmu,
Setiap harimu, tak ku biarkan ia berlalu begitu sahaja,
Biarpun walau sedetik,
Ku alunkan irama merdu kitab Kalamullah,
Bait-bait indah ku hayati satu persatu,
Helaian demi helaian,
Terasa damainya hati,
Tatkala irama merdu itu berkumandang.

Ramadhan,
Jika dulu aku sia-siakan pemergianmu,
Kini pemergianmu ku tangisi,
Aku rindukan saat-saat indah bersamamu ya Ramadhan,
Aku rindukan solat sunat Terawih,
Aku rindukan taddarus al-Quran,
Aku rindukan malam Lailatul Qadar
Aku rindukan siang dan malammu ya Ramadhan,
Rindu siangmu untuk berpuasa,
Rindu malammu untuk berterawih,
Rindu siang dan malammu untuk menggandakan pahala.

Ramadhan,
Andai aku diberi peluang,
Melayari hari-harimu yang mendatang,
Tidak akan aku persiakan,
Akan ku penuhi hari-harimu,
Dengan amalan yang berlipat kali ganda.
Insya-Allah.

"Puasa Itu Sebahagian Daripada Kesabaran."

-Artikel www.iluvislam.com

Thursday, August 4, 2011

Ramadhan Terbaik

0 comments
Amalan yang paling utama di bulan Ramadhan ialah puasa. Puasa difardhukan pada siang hari sepanjang bulan Ramadhan. Untuk mencapai puasa yang sempurna kita hendaklah memiliki ilmu tentang bagaimana melaksanakan puasa yang sebenarnya sebagaimana yang dituntut oleh Syara'. Oleh itu, ada baiknya sebelum menjelang Ramadhan kita mengulangkaji ilmu-ilmu tentang puasa merangkumi;

1. Rukun-rukun puasa serta sunat-sunatnya
2. Perkara-perkara yang membatalkan puasa
3. Perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa
4. Serta segala yang berkaitan dengan ibadah puasa

Selain itu, kita juga perlu mempelajari puasa dari sudut batin atau rohaninya supaya puasa kita akan mendatangkan lebih kesan kepada jiwa dan roh kita. Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa manusia kepada tiga bahagian;

1. Puasa umum : iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).

2. Puasa khusus : iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan yang haram atau dosa.

3. Puasa khususul khusus (paling khusus) : iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah sama sekali.

Jadi puasa yang sebenar bukanlah hanya puasa zahir sahaja (iaitu dengan menegah diri dari makan, minum, bersetubuh dan sebagainya) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan menegah diri dari maksiat dan dosa. Seorang yang berpuasa di samping menjaga diri dari makan, minum dan sebagainya, ia juga mesti menjaga anggota-anggotanya dari dosa dan maksiat. Jika tidak ia tidak akan mencapai kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah.

Sunday, July 31, 2011

Bulan Pesta Ibadah

0 comments
Ramadhan bukan sekadar menghidupkan malam, siang berlapar-laparan dan berletih-letihan. Ramadhan adalah untuk menghidupkan fikiran, hati dan jiwa dengan rasa bertuhan.

Ramadhan hendak memeriahkan jiwa dengan rasa kehambaan, rasa hina, rasa lemah dan rasa kerdil di hadapan Tuhan yang Maha Kuasa.Ramadhan hendak mengimarahkan jiwa dengan rasa rendah diri, takutkan Tuhan, cintakan-Nya, rasa bertuhan sentiasa. Ramadhan hendak menghidupkan jiwa timbang rasa sesama manusia, rasa kasih sayang, simpati sesama manusia yang derita, yang tidak punya apa-apa.Ramadhan hendak menebalkan rasa berdosa, takut kalau terlibat lagi dengan dosa.

Dalam bulan Ramadhan hendakla rasa agung-Nya Tuhan, hebat dan kuasa-Nya Tuhan.Ramadhan bukan sekadar ibadah luaran-luaran yang meriah dan ceria yang dalam gelap-gelita.

Janganlah Ramadhan dijadikan pesta makan minum, janganlah jadikan Ramadhan banyak tidur-tidur sahaja di siangnya dan janganlah jadikan Ramadhan selepas sedikit ibadah sembahyang kemudian berbual dan borak-borak yang banyak.Selepas berbual-bual banyak pulang ke rumah kemudian tidur, malam tidak bangun pula menghidupkan malam bersama Tuhan.


Sumber: I LUV Islam

Monday, August 16, 2010

Kelebihan Bersahur

0 comments

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran. Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk enggan bersahur kerana sahur dapat membantu menguatkan badan orang yang berpuasa untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, di samping sahur itu sendiri adalah satu amalan sunat yang berkat. Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, yang dimaksud dengan berkat (barakah) itu ialah akan mendapat ganjaran dan pahala di mana Allah akan merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat juga akan mendoakannya.

Pengambilan makanan sahur adalah titik yang membezakan antara puasa penganut agama lain dengan puasa kaum muslimin kerana penganut lain tidak bersahur sebelum berpuasa. Waktu sahur adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T. Sahur itu boleh dilakukan dengan sedikit makan walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan.


Saturday, September 19, 2009

Syawal Bukan Puncak Pesta Makanan

4 comments
Ramadhan hampir melabuhkan tirainya. Fajar Syawal akan menyingsing menandakan bermulanya detik yang dinantikan oleh semua kaum Muslimin setelah berpuasa selama sebulan. Namun, benarkah jihad berpuasa itu benar- benar terkesan dalam sanubari setiap insan? Atau sekadar menjadi momokan yang sering diperkatakan namun ia tidak seperti yang dilaksanakan? Ramadhan merupakan tarbiyyah untuk setiap Muslim yang melaluinya kerana natijah terakhir daripada Ramadhan ialah taqwa sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 183.

Renungkanlah kembali sama ada Ramadhan kali ini membuahkan hasil yang baik atau sebaliknya. Muhasabahlah agar dapat mencari di mana kekurangan kita sebagai hambaNya yang lemah. Andaikata Ramadhan bulan mendidik kita menjadi seorang yang penyabar, berjimat cermat, beradab baik dan pelbagai lagi sifat mahmudah, fikir dan soroti kembali dengan kehidupan nyata yang telah dilalui selama sebulan ini. Bukankah di sana sini berlaku pembaziran yang tidak diingini dalam masa kita semua menghadapi kekangan ekonomi? Cuba lihat di pasar- pasar Ramadhan, seolah- olah pesta makanan bermula apabila berlangsungnya Ramadhan dan ia berterusan sehingga penghujung bulan Syawal. Pelbagai juadah dan aneka kuih muih terhidang kadangkala tidak sehebat sebelum Ramadhan tetapi melonjak kehebatannya di bulan puasa dan semasa Aidilfitri. Sedar atau tidak, bahawa itu semua merupakan kunci kepada pembaziran dan pelbagai masalah buruk yang lain.

Kalau kita lihat, bukan setakat Ramadhan sahaja seperti pesta makanan tetapi apabila menjelang Syawal seolah- olah ia menjadi puncak pesta makanan kerana pelbagai juadah yang dihidangkan membangkitkan selera dan citarasa setiap orang. Seolah- olah roh Ramadhan itu tidak cukup mengesankan hati kita agar bersederhana dalam apa jua tindakan dan amalan. Kita tidak mampu mengekalkan tarbiyyah yang diterapkan dalam bulan Ramadhan untuk bulan- bulan yang seterusnya. Malah terus diganggu gugat oleh hawa nafsu yang tidak pernah berkesudahan. Aidilfitri dijadikan medan untuk membalas dendam kerana selama sebulan berlapar dan dahaga.

Di segenap rumah pasti tidak ketinggalan untuk mengadakan rumah terbuka sepanjang Syawal dengan menjemput sanak saudara dan rakan taulan. Amalan ini mampu mengeratkan ukhuwah sesama muslim kerana masing- masing sibuk dengan urusan seharian. Tetapi dengan adanya amalan ini ibarat menautkan kembali tali persaudaraan yang terungkai. Namun, satu perkara yang mungkin masyarakat kita terlepas pandang ialah penjagaan kesihatan. Penjagaan kesihatan seringkali diabaikan tatkala masyarakat kita terlalu sibuk dengan persiapan hari raya termasuk kesibukan kita dalam memenuhi undangan rumah terbuka. Kadangkala, kita seolah- olah melupakan isi kandungan pengajaran yang boleh diambil daripada Ramadhan adalah mengawal nafsu termasuk dalam hal yang berkaitan makanan dan minuman. Malah, sesetengah daripada kita menjadikan juadah yang terhidang di depan mata sebagai suatu santapan untuk memenuhkan hawa nafsu yang dikekang selama sebulan dengan mengambil semua jenis makanan yang terhidang yang tidak dapat diambil semasa bulan puasa. Kita lupa bahawa penjagaan kesihatan itu penting untuk kehidupan yang baik. Adakah ini semangat Syawal yang kita tuai setelah ia disemai sepanjang bulan Ramadhan yang mulia?

Undangan rumah terbuka semestinya rancak sepanjang bulan Syawal terutama bagi yang tinggal di kawasan bandar dan ibu kota. Juadah yang disajikan sudah pasti menggoda dan meruntun nafsu. Kita boleh makan tetapi biarlah dalam pengambilan yang terkawal. Selaras dengan tuntuan agama agar bersederhana, menurut pendekatan sains juga pengambilan makanan tidak dibenarkan berlebih- lebihan kerana dikhuatiri akan menimbulkan kesan kepada kesihatan.Pengambilan hidangan di hari lebaran yang mengandungi kadar lemak dan gula yang tinggi akan mendedahkan tubuh kepada pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi, penyakit kencing manis, penyempitan pembuluh darah, penyakit jantung dan sebagainya. Lemak yang berlebihan akibat makan terlalu banyak sukar untuk ditukarkan menjadi gula dalam darah. Oleh itu, makan berlebihan akan membuatkan seseorang itu menjadi lemah dan malas. Lemak dan karbohidrat yang berlebihan akan membawa bahaya kepada kesihatan.

Satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh ialah kesan penambahan berat badan akibat pemilihan makanan yang tidak betul dan pengambilan makanan yang berlebihan. Barangkali ramai yang menguntum senyum apabila berjaya menurunkan berat badan semasa bulan Ramadhan. Ia merupakan satu perubahan yang dilalui oleh sesiapa sahaja yang ingin menukar bentuk dan penampilan kerana mampu menahan selera makan selama sebulan. Namun, usaha tersebut hanya sia- sia apabila tiba bulan Syawal dan seterusnya, kita tidak mampu menolak segala jenis hidangan yang tersedia. Seharusnya, kita boleh jadikannya sebagai satu langkah permulaan untuk pengekalan kesihatan yang berterusan. Harus diingatkan bahawa bentuk tubuh bukan hanya menggambarkan secara zahir tetapi juga ia melambangkan tahap kesihatan yang dimiliki seseorang. Ini kerana bagi yang berlebihan berat badan, keadaan ini akan mengundang lebih banyak penyakit yang tidak pasti.


Dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, pelbagai persiapan disediakan termasuk juadah Aidilfitri mahupun untuk rumah terbuka, namun janganlah sesekali kita mengabaikan soal kepentingan keselamatan makanan. Walaupun ramai yang beranggapan bahawa hari raya seperti puncak pesta makanan, namun ia bukanlah puncak segala- galanya seandainya selepas menikmati pelbagai juadah hari raya, ramai yang terpaksa dimasukkan hospital dan menanggung ketidakselesaan kerana timbul gejala cirit-birit, sakit perut kerana makan keterlaluan ataupun keracunan makanan. Inilah akibat jika kita tersalah pilih makanan, memandang ringan soal keselamatan makanan dan makan secara berlebihan sebagai alasan melepaskan dan membalas dendam. Akibatnya, perut menjadi sasaran kerana selama sebulan saluran penghadaman dalam keadaan selesa dan berehat tanpa melakukan aktiviti pencernaan yang berat. Jika hal ini berlaku, ia akan menjejaskan kemeriahan kita menyambut hari raya. Oleh itu, seharusnya kita bersyukur dengan didikan Ramadhan yang mengajar kita supaya bersederhana dalam semua perkara termasuk hal makan dan minum, dan semestinya kita mengamalkan apa yang telah sabda Nabi SAW " Kami adalah suatu kaum yang tidak makan sebelum kami lapar dan sekiranya kami makan tidak pula sampai kenyang".

Justeru, semangat Ramadhan yang telah kita harungi selama sebulan perlu diteruskan sehingga bulan Syawal dan bulan- bulan seterusnya agar menjadi penjana yang berterusan untuk kesihatan jasmani dan rohani. Semoga Syawal yang kita akan lalui membawa pengertian yang mendalam ke atas jiwa setiap insan bahawa ia bukanlah syarat pembuka selera yang tiada sempadan bagi orang- orang yang telah berjaya menamatkan ujian pada bulan Ramadhan.

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sunday, September 13, 2009

Berbuka Puasa di Masjid Kian Hambar

8 comments
Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."

Dewasa kini dengan kemewahan rezeki yang melimpah ruah, ramai umat Islam lebih suka berbuka puasa di rumah , direstoran, diwarung tepi jalan atau di hotel berbanding dengan di masjid. Kalau yang datang kemasjid pun walaupun tidak semua tetapi semata-mata memenuhi undangan moreh. Dimanakah perasaan umat Islam ingin memakmurkan masjid?

Apakah makanan di masjid tidak selazat atau sesedap rasa dengan hidangan dihotel yang buffet berbuka puasanya pun ada yang melebihi RM 100.00 !! Dengan wang sebanyak itu boleh mengisi makanan untuk sekurang-kurangnya 10 orang anak yatim dirumah anak yatim atau orang tua di rumah kebajikan masyarakat dengan anggaran seorang berbelanja sebanyak RM 10.00 Sampai terasa lari dengan konsep ibadah berpuasa yang antara matlamatnya ialah menghayati penderitaan insan yang fakir dan miskin! Juga menghayati penderitaan umat Islam di Palestin dan di Iraq dan yang terbaru di Kashmir! Kerana dengan adanya penghayatan ini, barulah terasa hebatnya ibadah berpuasa. Kearah melahirkan keinsafan dan kesyukuran pada Illahi akan nikmat yang dikurniakanNya kepada hambaNya di muka bumi ini! Juga kearah rasa kehambaan pada Illahi. Sebab itu digalakkan berbuka puasa di masjid. Yang makanan utamanya ialah memakan buah kurma dan seteguk air kosong.Mengikut sunnah nabi.Dan bagi yang mampu sekadar menambah kuih muih dan sedikit air manisan sebagai penyedap makanan. Dan selepas berbuka puasa barulah digalakkan sembahyang berjemaah solat maghrib.


Jadi mendapat kebaikan berbuka puasa dan bersolat jemaah serta beriktikaf dimasjid sementara menunggu waktu berbuka puasa.Dan selepas makan antara 2 hingga 3 minit diteruskan bersolat maghrib secara berjemaah. Dan selepas solat barulah diteruskan tambahan makanan sekadar yang perlu sahaja.

Tetapi keadaan ini berlainan dengan umat Islam pada akhir zaman terutama di Malaysia. Ramai yang lebih suka berbuka puasa di restoran, warung-warung tepi jalan dan bagi yang mampu lebih gemar buffet berbuka puasa di hotel yang menawarkan lebih dari 100 hidangan makanan. Tidak kurang juga yang berbuka puasa di Kenny Roger atau KFC atau Mc Donald yang belanjanya melebihi dari kemampuan rakyat kelas bawahan! Sudah tentu mereka akan makan dengan sekenyang-kenyangnya bagi memenuhi hawa nafsu perut yang berlapar pada siang hari. Masa untuk menghabiskan makanan biasanya antara 20 hingga 30 minit. Lepas itu baru nak bersolat apatah lagi yang makan direstoran atau warung tepi jalan memerlukan masa tambahan 10 minit untuk mencari tempat beribadah. Cuba bayangkan dalam keadaan kekenyangan dan hampir lewat bersolat , masih ada lagikah rasa kekusyukan dan kelazatan berpuasa dan bersolat pada Maha Pencipta?


Ingatlah rezeki yang Allah beri bila-bila masa pun boleh ditarik balik. Kalau hidup di dunia ini setakat nak memuaskan hawa nafsu samada dari segi hubungan kelamin atau makanan, samalah kita dengan makhluk binatang! Sebab itu dari makanan, berbagai-bagai penyakit pun datang! Sebab kurangnya rasa bersyukur pada Tuhan! Kalau kita tahu bersyukur pengisian dalam perut kita hanya sekadar 1/3 makanan, 1/3 minuman dan yang selebihnya untuk keperluan bernafas!

Sama-samalah kita renungkan bagaimanakah amalan pemakanan kita ke arah melahirkan insan yang bertaqwa atau termesong kepada penyamaan gaya hidup kita dengan binatang?

Tepuk dada tanya iman!

Sumber: http://www.al-azim.com/

Friday, September 4, 2009

Mengubah adat puasa menjadi ibadat puasa

3 comments
“Ramadhan, bulan rahmat, bulan pengampunan dan penebusan dari api neraka!”. Masih terngiang ngiang tazkirah itu ditelinga ini. Namun dapatkah diri ini merealisasikan amal di bulan mulia ini dalam bentuknya yang asal?. Bentuk ibadah, taqarrub dan perubahan sahsiyah diri?.

Sedari kecil lagi emak membangunkan kita sebelum subuh untuk bersahur, ayah mengajarkan niat untuk berpuasa esok hari nya sebaik sahaja selesai makan sahur.

Apabila bermula ramadan jiran dan rakan taulan sekeliling sibuk bercerita mengenai tawaran dan sambutan hari raya. Masuk separuh ramadan emak dan kakak sibuk membuat kueh, buat baju baru sejak dari pagi sehingga larut malam. Inilah gambaran adat amalan sepanjang bulan puasa dalam keluarga dan masyarakat kita. Atau hanya sebilangan sahaja yang beramal sedemikian.

Tetapi inikah yang sebenarnya ?. Dapatkah kita menghayati dan merasa nikmat Taqwa? Sebagaimana firman Allah;” La’allakum tattaqunn”: semoga kamu bertaqwa?

Mungkin kah adat ini dapat kita ubah menjadi ‘ibadat’ dengan cara yang lebih afdhal dan akan mengangkat maruah umat?

Beberapa perubahan paradigma berpuasa perlu dilihat kembali. Agar ‘adat puasa’ berubah menjadi ‘ibadat puasa’:

1. Yang adatnya puasa baru bermula, tetapi perayaan hari raya yang di uar uarkan, suasana Ramadan tenggelam tidak bermaya. Marilah kita tukarkan adat ini menjadi ibadat dengan mewujudkan suasana beribadah, taqarrub dan berlumba lumba merebut tawaran dari Allah dengan membanyakkan membaca dan tadarrus Al Quran sekaligus memahami erti yang terkandung dalamnya, bersedekah, bertarawih dan sunnah nawafil

2. Yang adatnya , bila berpuasa, perut kosong, bila diusik maka marah mudah naik kemuka, bila di kata di nesta, hati mendidih dan tangan rasa hendak melayang. Marilah kita tukarkan adat ini dengan menyabarkan diri, redakan rasa marah dengan berkata kepada diri :” Sesungguhnya AKU berpuasa, sesunguhnya aku berpuasa”, apabila ada orang cuba menjolok rasa. Pupuklah rasa ukhuwah walaupun pada mulanya dengan rasa terpaksa. Jadikan lah bulan Ramadan sebagi bulan rekonsiliasi dan bulan kemananan dan mahabbah kasih sayang. Buang yang keruh ambil yang jernih. Mana bumi yang tidak di timpa hujan. Cara Mengurus Marah

3. Yang adatnya, siang hari, apabila berpuasa, badan rasa letih, tidak bermaya terutama menjelang tengahari dan petang, mata pun mengantuk dan terus tidur sepanjang hari atau jiwa merasa lesu, maka melepak lah didepan Televisyen. Marilah kita tukarkan adat ini dengan bertadarrus Al Quran, membaca, mengkaji dan menghayati Sirah nabawiah, meningkatkan ilmu dan kemahiran diri. Gunakanlah masa yang terluang untuk muhasabah prestasi diri.

4. Yang adatnya kita mengutamakan puasa fizikal (tidak makan minum di siang hari, tetapi apabila tiba waktu berbuka, juadah dan hidangan sepenuh meja dan makan semahu mahu nya menjadikan kan nya pesta makan yang melimpah ruah. Badan menjadi letih dan lesu kerana penat menyediakan makanan dan kekenyangan selepas makan. Marilah kita tukarkan adat ini kepada ibadah dan ‘tarbiah ruhiyah’ dengan melatih jiwa dan mendidik nafsu (makan dan syahwat batiniah). Makanlah berpada pada dan simpan lah tenaga untuk beribadah tarawih dan nawafil di malam hari.

5. Yang adatnya, dalam bulan puasa kita tidak rasa perubahan ketara dalam kelakuan harian, dosa dosa kecil kita buat tanpa disedari kerana telah terbiasa. Marilah kita tukarkan adat kebiasaan melakukan dosa kecil dengan menyedarkan dan menyemak kembali dalam diri apakah dosa kecil yang sering kita lakukan di bulan bulan yang lain dan tinggalkan lah kelakuan buruk itu untuk mendapat pahala dan keredaan Allah.

6. Yang adatnya semasa awal ramadhan surau dan masjid penuh dengan orang tua dan muda. Sayangnya semakin hari jemaahnya semakin kurang dan hanyalah orang tua yang tetap setia. Marilah kita tukarkan adat ini kepada ibadah dengan memastikan setiap kita tua dan muda mengimarahkan surau dan masjid untuk menunaikan solah tarawih tanpa gagal sehingga ramadan berakhir.

7. Yang adatnya bermula pertengahan bulan ramadhan sehingga keakhirnya kita sibuk membuat persiapan Hari Raya , membeli belah, membuat kueh raya pelbagai warna dan rasa, bunyi mercun berdentum dentum, percikan bunga api pancawarna menyinari laman rumah, sehingga mengalahkan rumah Orang China. Surau dan masjid menjadi lesu. Marilah kita tukarkan adat ini dengan menyibukkan diri , melipat gandakan ibadah di sepuluh hari terakhir Ramadan untuk merebut ‘Malam lailatul Qaqar’, malam yang lebih baik dari seribu bulan, Seribu bulan? Berapa tahun kah itu?.Sampaikah umur kita sehingga mencecah 83 tahun?

8. Yang adatnya kita teramatlah gembira apabila menjelang raya, makumlah hendak ‘merdeka’ dari bermacam macam larangan yang ‘menyesakkan’ jiwa, merancang pesta hiburan sehebat mungkin, halal dan haram di baur demi sambutan hari raya, roh ramadhan lenyap sekelipmata. Marilah kita tukarkan adat ini dengan menyisip dan menitip rasa kesedihan, kepiluan kerana perpisahan dengan dengan bulan rahmat dan maghfirah. Teguhkan doa dan pengharapan agar tahun depan berjumpa lagi denganya. Maka Syawal disambut dengan rasa penuh kesyukuran kerana menang trofi Ramadan.

9. Syukur kerana ‘berjaya’ mengekang nafsu dan shawat dan kembalilah ke bulan syawal dengan fitrah insaniah yang suci dan bersih. Bertekad mengekal kesucian ini dengan menjaga batas halal dan haram dalam menempuhi kehidupan di hari hari yang mendatang.

Thursday, August 27, 2009

Senaman dalam bulan puasa

22 comments
PUASA memberi kesan yang baik terhadap keseluruhan sistem badan manusia terutama sistem penghadaman. Secara amnya, berpuasa dapat memberi kesan terhadap sistem tubuh badan, minda serta psikologi dan rohani.

Tubuh badan kita sentiasa terdedah kepada bahaya toksin atau radikal bebas yang menjadi faktor kepada jangkitan penyakit atau kecederaan.

Tabiat pemakanan yang tidak berkhasiat, pencemaran alam sekitar dan tekanan dalam menjalani kehidupan seharian menyebabkan banyak toksin berkumpul di dalam badan. Justeru itu, dengan berpuasa dapat merehatkan sistem organ dalaman, mengekalkan serta menyeimbangkan sistem hormon, metabolisma dan sistem saraf.

Menurut kajian, dengan berpuasa otak akan mengeluarkan bahan yang berbentuk opioids yang terdiri daripada enkephalins dan endorfin. Bahan kimia ini akan menghasilkan ketenangan sepanjang menjalani ibadah berpuasa. Secara tidak langsung psikologi kita akan lebih tenang dan lebih rasional untuk bertindak balas terhadap rangsangan yang tidak diingini seperti tidak cepat marah dan lebih bersabar apabila ditimpa musibah.

Senaman dan berpuasa

Adakah senaman selamat untuk diamalkan semasa berpuasa? Persoalan ini selalu bermain di minda kita terutama jika kita seorang yang aktif bersenam atau beriadah. Pengkaji-pengkaji Barat telah membuktikan bahawa aktiviti bersukan, bersenam dan beriadah adalah selamat semasa berpuasa.

Secara asasnya, sistem badan yang terlibat semasa bersenam meliputi sistem jantung, paru-paru dan peredaran darah, sistem otot dan tulang, sistem limfa serta sistem badan yang lain. Bersenam semasa berpuasa boleh meningkatkan fungsi sistem-sistem ini menyingkirkan hasil perkumuhan badan dan toksin yang menjadi faktor berlakunya penyakit keluar daripada badan.

Kajian di dalam Jurnal Aplikasi Fisiologi membuktikan bahawa bersenam sebelum, semasa dan selepas berbuka puasa boleh mengurangkan kehilangan glikogen di dalam sistem otot dan meningkatkan penggunaan sumber tenaga daripada lemak untuk bersenam. Ini sekali gus dapat mengurangkan kandungan lemak di dalam badan kita dan dapat mengurangkan masalah berat badan.

Kajian di dalam Jurnal Nutrisi juga membuktikan bahawa orang yang bersenam semasa berpuasa akan mengurangkan berat badan dengan cepat daripada orang yang bersenam tetapi tidak berpuasa.

Manakala Dohm dan rakan-rakan (2008), dalam kajiannya membuktikan bahawa kandungan glukos dalam darah dapat dikekalkan walaupun kita bersenam sambil berpuasa. Jadi puasa bukanlah menjadi alasan kita untuk tidak bersenam.

Malah kita juga digalakkan untuk bersenam selepas berbuka puasa seperti melakukan sembahyang Terawih di mana sembahyang juga adalah salah satu bentuk senaman yang baik untuk diamalkan. Jadi janganlah risau anda akan kehilangan tenaga apabila melakukan bersenam kerana sumber tenaga untuk bersenam bukan hanya diperoleh daripada sumber makanan yang kita makan tetapi tenaga juga diperoleh daripada simpanan lemak yang dihasilkan daripada aktiviti penghadaman selama sebelas bulan kita tidak berpuasa.

Kajian juga mengatakan bahawa aktiviti pencernaan makanan memerlukan 14 jam untuk disempurnakan sehingga ke usus besar selepas pengambilan makanan bagi menghasilkan tenaga dan zat-zat yang diperlukan badan untuk berfungsi normal.

Biasanya puasa mengambil masa kurang daripada 14 jam di mana tempoh ini dipanggil tempoh normal badan bagi mengekalkan aktiviti fisiologinya. Ini membuktikan ibadah puasa tidak akan memudaratkan sistem-sistem sedia ada pada badan walaupun semasa berpuasa kecuali jika kita mengalami masalah penyakit-penyakit kronik.

Kajian Karli dan rakan-rakan (2007) di dalam Jurnal Sains Sukan dan Perubatan juga menyatakan bahawa puasa tidak akan memberi kesan negatif terhadap jumlah cecair badan, komposisi badan, kapasiti dan kuasa otot serta metabolisme asid laktik iaitu hasil perkumuhan otot dan penggunaan tenaga selepas senaman di kalangan atlet-atlet yang melakukan senaman rintangan tinggi.

Langkah-langkah berikut perlu diambil jika sekiranya anda ingin bersenam pada bulan puasa:

Kenali keupayaan diri anda sebelum melakukan senaman melalui sejarah perubatan atau penyakit terdahulu.

Dapatkan nasihat doktor atau ahli fisioterapi tentang jenis senaman yang sesuai.

Memikirkan faktor-faktor dalaman atau luaran yang boleh menyebabkan kecederaan seperti kandungan air badan, cuaca atau peralatan sukan yang digunakan.

Mulakan senaman dengan aktiviti memanaskan badan dan melenturkan tisu badan dan otot dan mengakhiri senaman dengan aktiviti menyejukkan badan dalam jangka masa sekurang-kurangnya 5 - 10 minit untuk keseluruhan senaman ini.

Lakukan senaman pilihan anda sama ada senaman untuk menguatkan otot, meningkatkan ketahanan jantung atau paru-paru dengan aerobik atau sukan lain seperti badminton dan sebagainya. Jangka masa, bebanan atau kekerapan ulangan memainkan peranan penting bagi menentukan intensiti senaman. Mulakan dengan intensiti yang rendah di awal Ramadan dan boleh ditingkatkan 10 -15 peratus senaman setiap minggu mengikut keupayaan dan tujuan anda bersenam.

Anda tahu keupayaan diri anda, elakkan bersenam jika sekiranya badan anda tidak berupaya melakukan senaman seperti demam, kekurangan cecair badan atau mengalami komplikasi penyakit terdahulu seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis.

Persediaan secara psikologi juga memain kejayaan aktiviti senaman pada bulan puasa ini seperti mengetahui fisiologi badan semasa berpuasa, tenang, minat dan mengetahui tujuan serta aktiviti senaman yang akan dilakukan.

Walau bagaimanapun, anda perlulah mendapatkan nasihat doktor atau ahli fisioterapi jika sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis atau jantung.

Dengan bersenam juga dapat meningkatkan fizikal dan rohani anda bagi menghadapi cabaran-cabaran pada bulan Ramadan seperti bertarawih sepanjang malam yang memerlukan ketahanan minda dan kekuatan otot terutama pada bahagian kaki.


Wednesday, August 26, 2009

Budaya Makan di bulan Puasa

48 comments
Kepada Sahabat-sahabat BLOGGer yang baca post nie..Jangan Lupa Komen Tau..(Ruangan Comment)..Segala komen yang diberi amat kami HARGAI..

"Fenomena pembaziran yang berlaku dan berleluasa pada setiap kali menyambut Ramadhan merupakan sesuatu yang amat menyedihkan. Sepatutnya bulan Ramadhan mendidik umat Islam berjimat cermat. Akan tetapi yang berlaku ialah sebaliknya apabila masyarakat Malaysia sanggup berbelanja besar dengan beraneka juadah makanan ketika tibanya waktu untuk berbuka puasa.

Sesuatu yang amat menghairankan juga apabila melihat sesetengah orang yang ketika berpuasa kelihatan amat lesu dan tidak bermaya, namun apabila tiba sahaja waktu petang untuk membeli juadah, badan yang lesu tadi sudah menjadi cergas dan kuat. Lantas, pelbagai juadah dibeli sehingga melebihi keperluan yang sepatutnya. Mereka membeli juadah bukan lagi mengikut keperluan, tetapi mengikut nafsu!. Mereka seolah-olahnya ingin meng'qada' sarapan pagi, makan tengahari, dan makan petang yang ditinggalkan ketika berpuasa, lalu berlakulah pembaziran yang banyak. Terdapat dalam kalangan masyarakat Islam yang menjadikan waktu berbuka tidak ubah seperti suasana ‘pesta makan’. Masyarakat seolah-olah berusaha untuk mengubah bulan puasa kepada 'bulan makan'! Sikap yang lebih pentingkan pesta menjamu selera pada bulan ini menyebabkan kesucian Ramadan sebagai bulan ibadat itu tidak dapat dihayati dengan sempurna.

Sebenarnya ajaran Islam tidak pernah melarang umatnya untuk membeli makanan. Cuma ajaran Islam mengajar kita supaya berbelanja secara bersederhana setiap masa, termasuk sewaktu berbuka puasa. Kita sebenarnya bukan 'hidup untuk makan', tetapi 'makan untuk hidup'. Apabila konsep 'hidup untuk makan' dijadikan pegangan, keadaan ini menyebabkan berlakunya kelalaian hingga melampaui batas berbelanja. Tidak cukup dengan juadah yang dimasak di rumah, dibeli lagi makanan di bazar dan pasar Ramadan secara yang berlebihan.

Sesuatu yang perlu disedari bahawa tabiat pembaziran yang berlaku dalam bulan Ramadhan menyebabkan puasa yang dilakukan menjadi sia-sia kerana tidak mencapai ketakwaan sebagaimana yang diharapkan. Masyarakat Islam di Malaysia perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak hingga mencapai tahap takwa kepada Allah. Antara ciri insan bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan. Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menghindari amalan menjadikan Ramadan bulan untuk berpesta makan dan membeli-belah secara berlebihan.

Pembaziran merupakan satu sifat yang dilarang keras di dalam Islam. Justeru, Allah mengumpamakan orang yang membazir itu ibarat saudara kepada syaitan. Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.”
(Surah al-Isra', ayat 27).

Sayyid Qutb di dalam tafsirnya 'Fi Zilal al-Quran' menjelaskan bahawa Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Oleh itu, berbelanja secara berlebihan ketika membeli makanan juga merupakan suatu tindakan yang tidak wajar dan membazir. Oleh yang demikian, apakah kita sanggup menjadi ‘saudara’ kepada syaitan dengan melakukan pembaziran di bulan Ramadhan yang mulia ini?

Sebagai Renungan..
Kita Makan Sampai Payah Nak Fikir apa yang nak dimakan..
Tetapi bagi mereka dari golongan yang susah..Mereka makan apa yang ada sahaja untuk hidup..
"Makan untuk hidup"...."Bukan hidup untuk makan"..

Tuesday, August 25, 2009

Kelebihan Kurma Yang Perlu Kita Tahu....

9 comments

Kurma ialah sejenis buah yang mempunyai banyak kelebihan.Dengan memakan sebiji kurma seseorang akan mendapatkan kecergasan segera, lebih-lebih lagi pada bulan puasa umat Islam disunatkan berbuka puasa dengan buah kurma atau makanan yang manis. Kurma mempunyai banyak kelebihannya jika dilihat daripada beberapa sudut :

1. KESIHATAN

A. Mencegah Penyakit Kronik Seperti Penyakit Jantung & Kencing Manis

Berdasarkan kajian Prof. Madya Asiah Zain, Pensyarah Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi, Universti Putra Malaysia (UPM) menyatakan "Dari segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari boleh mengurangkan rsiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana mengandungi zat galian seperti potasium, kalsium dan zat besi yang boleh menyihatkan sel darah merah". (BERITA HARIAN, SELASA, 20 FEBRUARI, 2001)

B. Merangsang Dan Memudahkan Kehamilan.

Prof. Madya Asiah juga berkata buah kurma mampu memanaskan badan dan merangsang keshatan wanita hamil dan anak yang dikandung, memudahkan wanita bersalin dan memberi tenaga.

C. Membunuh Kuman Dalam Badan .

Saidina Ali r.a. meriwayatkan "Barangsiapa yang memakan 7 butir tamar setiap hari, ia akan membunuh semua kuman di dalam badannya".

2. KECERDASAN DAN KECERGASAN

A. Kecerdasan Minda Dan Membantu Proses Tumbesaran .

Menurut Prof. Madya Asiah lagi, kanak-kanak digalakkan memakan lebih banyak buah kurma kerana ia memberi khasiat dari segi proses pembesaran, sekaligus membentuk minda kanak-kanak yang sihat.

B. Tenaga Segera

Maksud Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Maryam: Ayat 25-26:

Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu".

Kurma mampu membekal tenaga dengan pantas ke dalam tubuh mereka yang memakannya. Maka dengan itu Allah s.w.t. menyuruh Saidatina Maryam memakan buah kurma agar beliau mendapat bekalan tenaga untuk melahirkan Nabi Isa a.s., kerana kehilangan tenaga dan darah yang banyak.

3. KEPERIBADIAN

Membentuk Sifat Penyabar, Bersopan Santun Dan Cerdas Pemikiran.

Maksud Hadith Rasulullah s.a.w. :

"Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya".

"Melentur buluh biar dari rebungnya". Islam mengajar kita mendidik anak sejak dari dalam kandungan ibu agar anak yang bakal dilahirkan itu dibentuk mengikut rohaniah yang suci serta memiliki tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas. Buah kurma merupakan makanan yang mampu membentuk insan yang berperibadi luhur. Seorang pelatih dari Universiti Sains Malaysia (USM) menulis tentang hadith ini dalam majalah Mingguan Wanita.

4. KEBERKATAN

A. Mengambil Keberkatan Sewaktu Kelahiran.

Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya;

"Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma".

B. Makanan Yang Paling Sempurna.

Maksud Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan".

Dengan sebab itulah Prof. Madya Asiah menyatakan lagi "Pengambilan buah kurma itu tidaklah sekadar penting pada bulan puasa atau ketika seseorang itu sedang berpuasa, sebaliknya memakan kurma wajar dijadikan amalan harian".


P/s: Tak pernah lagi rasa Jus Kurma Yang nie..Yang lain pernah la..Hehe..
Apapun khasiat sangat banyak yang mana kita sendiri pun tak ketahui..
Esok p Pasar Ramadhan..Cari air kurma..Kalau ada la..

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Sembilan

Monday, August 24, 2009

Khasiat Kurma

11 comments
Buah kurma atau dalam bahasa Arab, tamar adalah dari jenis palm seperti kelapa sawit sementara buahnya bertangkai seperti buah pinang. Kurma mengandungi khasiat pemakanan yang tinggi seperti kismis dan aprikot kering. Antaranya kurma kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat galian seperti besi, kalsium, sodium dan potasium.

Kandungan protein didalam kurma lebih kurang 2 %, serat hampir 4 % manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 % glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula didalamnya telah ditukar secara semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap badan adalah serta merta. Gula didalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam badan. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap badan sebagai tenaga.

Kulit kurma yang mengandungi serat, amat baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Sementara kandungan vitamin A dan C amat tinggi dan banyak mengandungi potasium yang diperlukan oleh badan untuk sistem saraf. Memang dalam susu, yogurt dan makanan laut juga mengandungi potasium tetapi jumlahnya sedikit.

Pengambilan potasium yang berlebihan tidak mengumpul toksik didalam badan dan tidak memudaratkan. Sebaliknya ia merangsang selera makan bagi yang berpenyakit serta bagus untuk golongan yang mengalami sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, letih, lesu, mengalami tekanan serta menguatkan daya ingatan. Ramai beranggapan hanya kismis yang baik untuk menguatkan ingatan, sebenarnya kurma juga adalah setanding. Mungkin atas alasan pihak-pihak tertentu atau negara pengeluar anggur telah menjalankan kempen makan kismis dan mempopularkan khasiatnya.

Kurma diakui sebagai buah berkhasiat dan sebagaimana Firma Allah s.w.t. dalam surat al_Mukminah ayat 19, “Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Disana kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagiannya kamu makan”.

Umat Islam digalakkan berbuka dengan kurma bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang mana maksudnya “Rumah yang tiada kurma seperti rumah yang tidak mempunyai makanan”. Kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi.

Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolestrol, lemak dan gula di dalam kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi. Dalam perubatan homeopathy, biji kurma dikisar halus atau dijadikan serbuk seperti teh, direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagi jenis penyakit. Melalui petua tertentu, kurma dimakan bersama badam dan madu untuk menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga batin.

Jus buah kurma mungkin baru dinegara ini. Dinegara pengeluar selain dimakan segar, kering atau salai, kurma dibuang biji dan diganti dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi menambahkan keenakannya. Kurma juga dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim.

Kita seharusnya memakan buah kurma bukan hanya dalam bulan puasa sahaja. Kurma baik dijadikan pengganti makanan ringan yang hanya mengandungi karbohidrat, garam, lemak dan gula berlebihan yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit.

Ketibaan bulan Ramadan tidak meriah tanpa dapat menikmati buah tamar sebagai juadahberbuka puasa. Seperti menjadi satu kewajipan bagi setiap rumah untuk membelinya tidak kira dari jenis, gred yang paling rendah atau yang paling mahal seperti tamar ajwah (or agwah??) ‘pure’ Madinah yang berharga RM120.00 sekilo pada hari biasa manakala pada bulan ramadan harganya menjadi lebih mahal.

Tamar juga menurut kajian sains merupakan buah yang khasiat dan kandungan gulanya cepat meresap ke dalam tubuh. Kita selalu mendengar kisah2 Rasulullah s.a.w. dengan pohon tamar. Nyata pohon tamar punya sejarah yang cukup unik dan masih ramai tidak mengetahuinya.

Syukur dengan berkat mengunjungi Makkah dan Madinah untuk mengerjakan umrah semasa pengambaran Drama Cinta Madinah yang bakal disiarkan ceritanya pada saluran RTM bulan ini, saya dan semua krew dan artis memperolehi satu lagi cerita istimewa asal-usul kejadian pokok tamar dari Tuan Haji Isa Darus atau Pak Long (Kisah Pak Long Isa pernah tersiar dalam Anis julai lalu).

Menurut cerita Pak Long , asal-usul kejadian pokok tamar adalah dari lebihan tanah yang Allah s.w.t. ciptakan Nabi Adam a.s. Pokok tamar betina tumbuh pada zaman Siti Maryam. Selepas Maryam melahirkan anaknya Nabi Isa a.s., Siti Maryam telah diminta oleh Allah s.w.t untuk menggoncangkan pohon tamar yang terdapat di tempat dia melahirkan anaknya lalu gugurlah buah tamar masak dan di makan oleh Siti Maryam.

Itulah sejarah yang pertama tamar menjadi ubat berkhasiat kepada manusia. Siti Maryam dapat mengalas perut untuk mengumpul tenaga selepas selamat bersalin hanya dengan makan tamar, tanpa tumbuhan herba yang lain. Ditakdirkan Allah s.w.t. dengan kelahiran Nabi Isa a.s. itu juga, Allah s.w.t. telah tumbuhkan pokok tamar jantan di sebelah pokok tamar betina. Dan untuk tujuan mendapat hasil buah tamar yang elok ia juga harus dilakukan menerusi kaedah ‘kahwin bunga’ (melakukan proses pendebungaan betina dengan debu bunga jantan).

Untuk mengenali perbezaan di antara tamar jantan dengan tamar betina, tamar jantan lebih tinggi pohonnya, berdaun keras menjulang ke langit.Pokok tamar betina rendah sedikit dan daunnya dmelintuk ke bawah. Pada bulan februari pohon tamar jantan berbunga setahun sekali sama dengan tamar betina . Bezanya bunga jantan ia mengeluarkan debu-debu halus. Pada bulan ini ketika tamar betinamengeluarkan bunga, petugas (terdiri dari mereka yang berbangsa Arab) akan memanjat pokok tamar betina dan dijalankan proses kahwin bunga, ditepuk-tepuk,disapu dua tiga ranting bunga jantan kepada setandan bunga betina yang terkembang dari tandannya.

Ternyata untuk menghasilkan buah tamar yang elok berkualiti, ia mesti ‘disenyawakan’ oleh tangan manusia, tidak boleh melalui binatang atau diterbangkan oleh angin. Pokok tamar tidak akan berbuah dengan sempurna jika tidak dicantum oleh tangan manusia. Buah tamar tidak akan masak jika suhu kurang dari 55 darjah Celcius.

Bulan Julai adalah musim tamar masak ranum manakala bulan ogos adalah musim menuai. Menurut Pak Long Haji Isa, bagi sebuah kebun memadai ada beberapa batang sahaja pokok tamar jantan berbanding dengan ratusan pokok tamar betina, kerana debunga pada satu dahan pohon tamar jantan boleh digunakan untuk proses pendebungaan dengan ratusan tandan pada pokok tamar betina. Debu yang perlu digunakan pada setiap pokok terlalu sedikit. Bunga jantan ini juga boleh disimpan di tempat yang kering untuk kegunaan berulang-ulang kali selagi debunganya masih ada.

“Allah s.w.t. jadikan buah tamar cukup istimewa. Cuba perhatikan sepanjang ia berada di atas pokok tidak ada seekor binatang atau burung yang mematuk atau merosakkannya. Ini kerana buah tidak berbau. Allah s.w.t pelihara dan memuliakannya. Ia mesti disenyawakan oleh tangan manusia. Di Madinah hanya bangsa Arab sahaja yang sanggup panjat dan turun naik ke atas pokok tamar untuk lakukan kerja pencantuman ini. Bangsa lain tak mampu, tenaga tak sekuat bangsa ni.” Jelas Pak Long.

Pokok Tamar ‘ayah saudara’ kita….Mula-mula kami juga bingung kenapa keunikan ini berlaku pada buah yang istimewa ini, lalu Mak Long Normah Morad, isteri Hj Isa Darus beri kami sentuh debu jantan, “Gosok pada tangan dan cium,” katanya. “Masya-Allah bau air mani,” kata kami tergamam.

“Ya, memang bau air mani, bau ini bukan semua makhluk suka. Pokok tamar kalau mahukan buahnya elok, ia mesti disenyawakaan oleh tangan manusia, sebab pokok ini Allah s.w.t. jadikan dari lebihan tanah kejadian Nabi Adam a.s.”

“Ringkasnya, dia umpama pak menakan(ayah saudara) kita. Sebab itu kita tak boleh pandang remeh padanya. Rasulullah s.a.w. dan Nabi-Nabi lain sangat sayang padanya. Sebab itu dikatakan sebaik-baik buah yang serasi dengan badan kita adalah buah tamar kerana ia sebahagian dari kita. Jadi setiap kali menjamah tamar ingat-ingatlah asal kejadiannya. Buah ini tidak berbau kerana Allah s.w.t. nak pelihara kesuciannya di samping mudah untuk kita menguruskannya
dengan kelebihan cuaca yang panas kering. Penjual tak risau lalat atau semut kerana bumi barakah ini.”Ujar Pak Long dengan senyum lebar.

Petikan artikel dari Majalah Anis keluaran Oktober 2005.

Sunday, August 23, 2009

Walau Seteguk Air,Sahur Pelihara Kesihatan

9 comments

Amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud : “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”

Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Nabi bermaksud: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban) Hadis tadi menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang yang berpuasa walaupun makan atau minum dengan sedikit saja sekalipun dengan hanya seteguk air. Dalam hadis lain, kelebihan ke atas orang yang bersahur itu ialah seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).

Selain disunatkan bersahur kita juga disunatkan untuk melambatkan waktu bersahur itu kerana amalan itu dilakukan oleh utusan Allah dan sahabat. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya.” Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh. Berkaitan perkara ini, Zaid bin Thabit pernah berkata: “Kami pernah bersahur bersama nabi, kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh). Zaid ditanya : “Berapa lama masa antara kedua-duanya (yakni antara makan sahur dan solat Subuh)?” Berkata Zaid: “Sekadar membaca 50 ayat al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari) Dalam kitab Nailul Authar, disebutkan Imam Ibn Abdil Bar berkata bahawa hadis yang menerangkan kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur semuanya bertaraf sahih dan mutawatir. Penekanan Nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi.

Kajian menunjukkan makanan paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi. BBC News pada 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian oleh Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis. Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan pagi.

Hal ini menjadi lebih penting kepada kanak-kanak yang berpuasa. Ini kerana kesan kanak-kanak meninggalkan sarapan pagi adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil. Kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran. Tambahan daripada itu, satu kajian oleh Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.

Justeru, secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian itu. Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunnah dan waktu sahur juga masa yang dipenuhi keberkatan.


Blog Widget by LinkWithin
 

j-QAF Sk Sulaiman Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template