Oleh: Ustaz Aris Hazlan
Saya mengenali beliau ketika sama-sama berulang ke maktab (IPTAA) Kuala Lipis Januari 2005 lalu. Berwajah bulat nangka, 'kaler' hitam manis, sentiasa tersenyum biarpun baru kena palu dengan isteri. Dia sangat hormati wanita. Di kelas, tak banyak cakap, hanya 'terkernyeh' sepanjang hari. Tapi bila balik asrama, macam-macam cerita keluar dari mulut.
Itulah watak Juara Pertandingan Khat Zon Timur menerusi rancangan Marhaban di Astro, Ustaz Khairul Araifin dari SK Abu Bakar, Mentakab.
Manja dengan nama Kerul, beliau bukan berbakat dalam bidang khat sejak dilahirkan. Tetapi mula mengasah bakat dalam kelas di maktab. Terutama masa pensyarah yang slow motion atau waktu rakan lain sedang dibuai mimpi indah dalam kelas.
Berbekalkan marker pen Artline 90-nya dia menconteng, melakar dan menulis nama rakan-rakan dengan khat thuluth yang direka-bentuk seperti kubah, bunga, bulatan dan sebagainya.
Tertarik dengan keindahan khatnya, maka 'banat-banat' pun pakat suruh beliau tulis nama mereka untuk diabadikan dalam simpanan mereka. (Ini satu-satunya rahsia beliau yang saya belum dedah kepada isterinya... :).
29hb Ogos lalu, beliau menyertai pertandingan Khat anjuran Astro Oasis di Kuantan Mega Mall. Tanpa berbekal sebarang sijil mahupun diploma dalam bidang khat, beliau menggondol gelaran juara apabila menewaskan semua peserta dari neger-negeri Pantai Timur.
Kejayaan di Kuantan mengheretnya ke pertandingan peringkat pusat yang diadakan di Shah Alam 6hb Sept lalu. Di sana, beliau terpaksa berentap dengan juara-juara dari Zon Utara yang telah mengadakan pertandingan mereka pada 22 Ogos di Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang, Zon Selatan (15 Ogos – Batu Pahat Mall, Batu Pahat, Johor) dan Zon Barat (5 September – Jusco, Bukit Tinggi, Klang, Selangor).
Pagi 5 Sept, sebelum berangkat ke Shah Alam, beliau sempat mengunjungi rumah bapa saya di Jengka dengan membawa dua batang paku resam (alat tulis khat). Barangkali mohon doa dan restu kami...
Petang besoknya, dalam perjalanan saya pulang dari pasar Ramadhan Bandar Jengka, saya menghubungi beliau bertanyakan keputusan pertandingan. Beliau dengan rendah hati menjawab, "Saguhati je ustaz. Dapat RM200." Saya kurang yakin dengan jawapannya. Saya tanya, "Bukan RM200. Anta dapat gi umrah tak?" Beliau jawab dengan bersungguh, "Tak dapat ustaz. Semua hebat-hebat."
Ternyata Ustaz Kerul hanya dapat hadiah saguhati. Nombornya tak tahu. Sebab dari 12 peserta, hanya seorang sahaja dikira sebagai pemenang yang dapat hadiah umrah. 11 orang lagi diberi hadiah saguhati.
Apapun, saya tetap berbangga dengan Ustaz Kerul. Dia termasuk 12 khattat (الخطاط) terbaik seluruh Malaysia!




























